AHLI Sunnah wal Jamaah sama sekali tidak akan berani untuk mencerca, mencaci, memperlekeh apatah lagi mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad SAW. Walaupun mungkin ke atas seorang sahabat sahaja, cacian dan makian kepada sahabat Rasulullah SAW tidak akan terbit dari mulut seorang Ahli Sunnah atau pun dicatatkan di dalam tulisannya.
Ya, sahabat juga bukannya maksum, terpelihara daripada melakukan kesalahan. Namun, kedudukan mereka secara umum dimuliakan ALLAH SWT dan rasul-Nya. Menghina, mencaci maki dan mencerca mereka adalah perbuatan yang biadab.
Namun, bagi Hasan Al-Saqqaf, hal ini tidak menjadi suatu yang berat baginya. Ini yang menghairankan kita. Bagaimana boleh muncul dari lidahnya atau ditulis oleh tangannya perkataan demi perkataan yang mencaci maki sahabat Rasulullah SAW?
Sedangkan prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah melarang perbuatan sedemikian.
Jika perbuatan ini terbit daripada seorang Syiah, ia tidaklah suatu yang pelik. Umum sudah mengetahui betapa buruk dan jahatnya pendirian Syiah terhadap sahabat Rasulullah SAW. Jadi, siapakah sebenarnya Hasan Saqqaf ini?!
Cercaan ke atas sahabat
Dalam komentarnya kepada buku Al-Ibanah ‘an Usul Al-Diyanah karangan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari, Hassan Al-Saqqaf dengan biadabnya telah mencerca seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Mu'awiyah bin Abi Sufyan, katanya: "Tidak boleh kita senyap, kerana penderhaka (merujuk kepada Saidina Mu'awiyah) mesti diperangi dan kita berada di pihak menentangnya... apakah kita akan berdiam diri terhadap orang (iaitu Mu'awiyah) yang menyeru ke neraka dengan nas yang sahih lagi jelas. Apakah kita katakan kepadanya dia dikira sebagai mujtahid yang diberi pahala?" (Lihat komentarnya kepada Al-Ibanah, ms: 96)
Tidak cukup dengan kebiadaban ini, di tempat lain, Hassan Al-Saqqaf mencaci Mu'awiyah dengan menuduh beliau sebagai orang yang mengasaskan manhaj yang paling buruk, keji dan zalim sehingga terbunuhnya ahli keluarga Nabi SAW. (Lihat komentarnya kepada buku Al'Atab AlJamil, ms: 51)
Selain Mu'awiyah bin Abi Sufyan, seorang lain sahabat yang menjadi bahan cacian Hasan Al-Saqqaf ialah Abdullah bin Salam. Hassan Al-Saqqaf menuduh beliau sebagai pembawa berita-berita khurafat di dalam Sahih Al-Bukhari. Dakwaan ini bukan sahaja menghina kedudukan Abdullah bin Salam sebagai sahabat, sekali gus memfitnah Sahih Al-Bukhari mengandungi perkara khurafat. (Lihat komentarnya kepada kitab Al-'Uluw li Al-'Aliy Al-Gaffar oleh Imam Al-Zahabi, m/s 25)
Khilafah Abu Bakar tidak sah
Tidak ada dalam kalangan Ahli Sunnah yang mempertikaikan Abu Bakar Al-Siddiq dilantik sebagai khalifah pertama melainkan puak Syiah. Bagi Syiah, mereka mendakwa yang sepatutnya menjadi khalifah pertama ialah Ali bin Abi Talib. Bukannya Abu Bakar dan Umar Al-Khattab. Tidak hairanlah dua tokoh sahabat agung ini dilaknat oleh golongan Syiah.
Tetapi, apa yang pelik pula, pandangan Hassan Al-Saqqaf dalam isu khilafah Abu Bakar senada dengan pegangan Syiah. Beliau juga mendakwa yang lebih utama menjadi khalifah ialah Ali bin Abi Talib. (Lihat komentarnya kepada buku Al-Ibanah karangan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari, m/s 297)
Sesatkan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari
Hassan Al-Saqqaf mendabik dada sebagai seorang yang mengikuti aliran Abu Al-Hasan Al-Asy'ari dan menjadi pembelanya. Namun, dakwaan ini hanyalah kepura-puraan semata. Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari turut menjadi mangsa yang dituduh sebagai sesat, bahkan sampai ke tahap kufur kerana cenderung kepada mazhab mujassimah.
Berikut apa yang disebutkan oleh al-Saqqaf ketika mengkritik akidah Abu Hasan Al-Asy'ari:
"Maka Al-Asy'ari bermazhab Hanbali (dalam akidah) kalamnya (dalam sifat-sifat ALLAH) dimasukkan dalam kalam Mujassimah (orang yang menjisimkan ALLAH) dan Musyabbihah (orang yang menyamakan ALLAH dengan makhluk). Kitab Al-Ibanah adalah kitab yang mengandungi banyak keburukan-keburukan ini.
Petikan yang dinukilkan oleh Ibn Asakir dari kitab Al-Ibanah dalam kitabnya Tabyin Kazib Al-Muftari membuktikan beliaulah (Al-Asy'ari) yang mengatakan bala dan bencana ini yang mana kitab itu (Al-Ibanah) tidak dipesongkan oleh tangan-tangan yang berdosa…" (Rujuk: Al-Ibanah, Abu Al-Hasan Al-Asy'ari, tahqiq Hassan Al-Saqqaf, m/s 6)
Kata beliau lagi: "Petikan yang dinukilkan oleh Ibn Asakir dalam kitab Tabyin Kazib al-Muftari seperti yang telah saya sebutkan tadi membuktikan penulislah (Al-Asy'ari) yang berpandangan dengan pandangan (akidah) yang tertolak yang menunjukkan beliau cenderung kepada mazhab Tajsim dan Tasybih." (Rujuk: Al-Ibanah, Tahqiq Hasan Al-Saqqaf, m/s 8)
Usaha terjemah bukunya
Sebelum doktrin sesat, kotor dan menjijikkan ini meracuni pemikiran rakyat Malaysia, maka kita perlu berwaspada dan berusaha mencegahnya. Ini kerana terdapat usaha untuk menterjemahkan buku-buku beliau ke dalam bahasa Melayu. Antara buku beliau yang telah diterjemahkan dan diedarkan di Malaysia ialah Sahih Sifat Solat Nabi.
Malaysia tolak Hassan Al-Saqqaf
Sebagai sebuah negara yang berpegang teguh dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, Malaysia perlu menolak pandangan ekstrem yang diketengahkan oleh Hassan Al-Saqqaf. Pendirian beliau terhadap sahabat Rasulullah SAW dan ulama Ahli Sunnah ternyata menyeleweng dan amat bahaya.
Kita perlu sedar dan tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat beliau dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengannya. Beliau mengaku sebagai keturunan Ali bin Abi Talib dan bermazhab Syafie.
Sedangkan lidah yang sama juga sentiasa basah dengan cacian kepada sahabat dan ulama. Anda boleh layari youtube, lihat dan dengar sendiri cercaan yang keluar dari mulutnya.
Bersama kita pertahankan Ahli Sunnah di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Berwaspada dengan perancangan jahat musuh. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang berselindung di sebalik nama Ahli Sunnah wal Jamaah, dalam masa yang sama menabur fitnah dan mencemarkan Islam yang indah.

ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah pemegang Ijazah Sarjana,
Kuliyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)