TIDAK perlu berselindung lagi, ia jelas, masyarakat sedang tertekan dengan keadaan ekonomi semasa.
Kos sara hidup makin tinggi, hidup semakin terhimpit dan tertekan. Ketika masyarakat memerlukan 'belaian', maklum balas yang banyak didengar daripada pemimpin masyarakat hanyalah kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati, kalau pun tidak menjadi lawak jenaka.
Segenap masyarakat berduka lantas ingin bersama mencari jalan penyelesaian.
Apakah lagi jalan keluar daripada masalah, kalau bukan al-Quran tercinta?
Alangkah, baru ingin memanggil Tuhan, rupanya Dia lebih dahulu telah memanggil kita semua. Hayatilah firman-Nya: "Wahai manusia, sungguh telah datang kepada kamu pengajaran dari Tuhan kamu, dan sebagai ubat bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk, dan rahmat bagi orang yang beriman." (Surah Yunus: 57)
Al-Quran telah memanggil seluruh manusia: "Wahai manusia" bukan cuma orang beriman, kerana setiap manusia akan menempuh masalah dan cabaran. Dalam kebingungan, Tuhan menunjuk jalan, walau sulit dan susah, akan dapat diatasi kerana pedoman Tuhan.
Masyarakat berkongsi masalah yang sama, namun berbeza peranan dalam proses memperbaiki.
Ahli politik, ahli ekonomi, agamawan, suri rumah, mempunyai kapasiti unik tersendiri, dan al-Quran menyatukan  potensi-potensi yang berbeza ini melalui prinsip-prinsip yang dikongsi bersama dalam menyelesaikan masalah. Jadi walau kita berbeza kerjaya dan kemampuan, kita masih sedar kita bergerak di atas didikan yang sama.
Didikan itu adalah al-Quran yang perlu difungsikan dalam masyarakat.
Rujukan menyelesaikan masalah tidak akan ditemui melalui teori-teori fahaman kebendaan yang dibuat oleh manusia.
Manusia lemah, apa sahaja yang datang dari manusia akan berisi kelemahan. Al-Quran pula penuh hikmah kerana ia diturunkan oleh al- Hakim, Tuhan Yang Maha Bijaksana.
Ia menggerakkan perasaan dalam hati. Ia mendidik dengan hikmah, sesuai dengan akal dan perasaan yang lurus, dan meluruskan jalan hidup manusia di atas kesejahteraan dan keharmonian.
Empat fungsi diturunkan al-Quran kepada manusia

Pertama: Al-Quran sebagai pengajaran. Dengan pengajaran al-Quran itu dapatlah kita, manusia semua, membezakan baik dan buruk, amal yang diredai dan amal yang buruk, yang akan membawa faedah kepada kehidupan masyarakat.
Al-Quran menganjurkan sikap berbuat baik seperti tolong menolong, hormat menghormati, berkasih sayang antara makhluk, dan bersedekah pada setiap masa.
Dalam sudut lain al-Quran melarang perbuatan jahat seperti menzalimi orang lemah, mengambil hak orang lain tanpa izin, mengeluarkan kata-kata kesat, dan mencengkam manusia dengan riba.
Kedua: Al-Quran adalah ubat bagi apa yang ada dalam dada.
Maksudnya di sini adalah jantung (qalb) atau orang kita panggil hati sanubari yang terletak akal budi, ilmu pengetahuan dan perasaan halus. Sakit hati mempengaruhi sehingga badan jadi sakit, dan sakit badan mempengaruhi sehingga jiwa jadi sakit. Jiwa sakit bertimpa-timpa sehingga segalagalanya sakit.
Antara ubat yang dibawa al-Quran adalah reda. Di waktu kesenangan kita semakin terbatas sehingga kita rasa dibelenggu zahir batin oleh manusia yang lebih berdarjat, selama kita belum reda menerima kehilangan kesenangan itu, selama itu pula hati kita akan menderita.
Al-Quran membebaskan jiwa dari segala ikatan, dan hanya dikumpulkan dalam satu ikatan sahaja, iaitu tauhid. Bila jiwa kita luas, fikiran juga menjadi luas untuk melaksanakan projek-projek perubahan dan kebaikan dalam masyarakat.
Ketiga: Sebagai petunjuk. Supaya kita tidak tersesat dalam mencari penyelesaian masalah hidup, kita perlu suluhan cahaya setiap kali ingin mengambil keputusan. Ciri orang yang mendapat petunjuk adalah dia akan memikirkan kesan jangka masa panjang keputusan yang dibuat, di dunia sehingga ke akhirat. Mereka juga amat mementingkan pembangunan keimanan dengan menjaga hubungan dengan Tuhan melalui solat, dan menjaga kebajikan sesama manusia melalui pemberian sedekah.
Petunjuk ini meluaskan horizon pemikiran manusia bahawa akal dan tenaga di bawah bimbingan Quran akan digunakan untuk mencipta peluang-peluang kebajikan.
Keempat: Rahmat, iaitu kurnia kasih sayang kepada orangorang beriman. Ini adalah hasil dari urutan tiga yang pertama tadi. Kata Buya Hamka: "Bila pengajaran al-Quran dipegang teguh, bila al-Quran dijadikan ubat hati penawar dalam dada, dan dijadikan petunjuk dalam
perjalanan hidup, pasti tidak dapat tidak akan dirasailah rahmat ALLAH SWT bagi diri dan rumah tangga dan masyarakat.

ARIFF JAUHAR ISKANDAR
Eksekutif Kanan Akademi Sinergi Ikhlas SDN BHD