ALLAH SWT berfirman: "Dan bertaubatlah kepada ALLAH wahai sekalian orang yang beriman semoga kamu beroleh kejayaan." (Surah Al-Nuur: 31)
Kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH yang telah membuka buat hamba-Nya pintu taubat, menyeru mereka kepadanya dan berjanji akan memperkenankan buat hamba-Nya permohonan taubat mereka dengan dihapuskan dosa-dosa mereka.
Manusia adalah makhluk yang lemah. Dia dikelilingi musuh yang ramai dalam kalangan syaitan, jin dan manusia. Musuhnya berusaha mencantikkan apa yang tidak baik dan memburukkan pada pandangan manusia itu apa yang cantik.
Di samping musuh luar, adanya musuh dalaman iaitu hawa nafsu yang mendorong ke arah kejahatan. Ia sentiasa mengajak kepada yang haram bagi memenuhi tuntutan hawa nafsu. Ternyata, manusia terdedah kepada bahaya daripada segenap penjuru. Tetapi dalam masa yang sama ALLAH memberikan perlindungan buat manusia di mana jika manusia itu datang mendapatkan-Nya, pulanglah musuh ini semua dalam keadaan hampa dan kecewa.
Perlindungan tersebut adalah dengan bertaubat kepada ALLAH, memohon pertolongan-Nya dan berzikir mengingati-Nya.
Gegas bertaubat
Maka barang siapa ada melakukan kesalahan atau terjebak dalam maksiat lalu dia bergegas bertaubat, beristighfar dan menebus kesalahannya itu dengan memperbanyakkan amal soleh, ALLAH akan menutup dosanya itu dan menghindarinya daripada bahaya maksiat tersebut.
Sesungguhnya taubat nasuha akan menghapuskan dosa-dosa kesalahan walau sebesar mana pun dosa tersebut. Firman ALLAH: "Katakanlah kepada orang kafir itu, jika mereka berhenti (daripada perbuatan buruk mereka), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang lalu." (Surah Al-Anfal: 38)
ALLAH menawarkan pintu taubat-Nya kepada mereka yang telah melakukan sebesar-besar jenayah iaitu golongan yang telah membunuh anbiya dan berkata: "Sesungguhnya ALLAH adalah satu daripada tiga tuhan." (Surah Al-Maa’idah: 73)
Mereka juga berkata: "Sesungguhnya ALLAH adalah Isa bin Maryam." (Surah Al-Maa’idah: 17)
Seruan ALLAH
Walaupun mereka telah mengucapkan seburuk-buruk perkataan dan melakukan sebesar-besar dosa, ALLAH tetap menyeru mereka supaya bertaubat dalam firman-Nya: "Tidakkah mereka mahu bertaubat kepada ALLAH dan memohon keampunan-Nya, padahal ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Maa’idah: 74)
Itulah hakikatnya. ALLAH telah dan terus-menerus membuka pintu-Nya bagi mereka yang ingin bertaubat tanpa mengira waktu siang atau malam.
Sabda Nabi SAW: "ALLAH membentangkan tangan-Nya pada waktu malam bagi mengampuni mereka yang berbuat kesalahan di waktu siang; dan ALLAH membentangkan tangan-Nya pada waktu siang bagi mengampuni mereka yang berbuat kesalahan di waktu malam." (Riwayat Muslim)
Begitulah sifat ALLAH terhadap hamba-Nya. ALLAH mengasihani mereka yang telah banyak berbuat dosa serta menegah mereka daripada berputus asa daripada limpahan rahmat-Nya dengan meninggalkan taubat.
Firman-Nya: "...Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." (Surah Al-Zumar: 53-54)
Betapa besarnya sesebuah dosa itu, pengampunan ALLAH tetap lebih besar. Maka barang siapa menyangka dosanya terlalu besar sehingga tidak dapat diampunkan oleh ALLAH, hakikatnya dia telah bersangka buruk dengan Tuhan-Nya. Ini kerana berputus asa daripada rahmat ALLAH termasuk antara dosa besar.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak bererti sama sekali seseorang hamba itu boleh sahaja terus bergantung harap pada keluasan rahmat ALLAH dengan terus-menerus bergelumang dalam dosa dan noda sehingga lupa akan balasan azab seksa ALLAH atas golongan pelaku maksiat.
Perbuatan seperti ini menandakan kita berasa selamat daripada rancangan buruk yang diatur ALLAH. Dan hal ini juga termasuk dalam dosa besar.
Bila ajal tiba
Firman ALLAH: "Maka adakah orang yang merancang dan melakukan kejahatan itu berasa aman daripada ditimbuskan ALLAH akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab daripada arah yang mereka tidak sangka. Atau Dia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa ALLAH. Atau Dia membinasakan mereka sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan kamu amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya". (Surah Aali Imraan: 135)
Wajarlah kita bergegas bertaubat kepada ALLAH mengenangkan kita tidak tahu bila ajal kita akan menjemput. Di kala itu tiada guna lagi untuk kita bertaubat kerana peluang sudah tertutup. Akhirnya kita akan menyesal tanpa kesudahan. Dan di akhirat pula kita akan terpaksa memikul berat muatan dosa-dosa yang telah dilakukan.
Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH akan menerima taubat hamba-Nya selagi nyawa belum sampai ke liang halkum." (Riwayat Ahmad, hadis hasan)
Demikianlah realitinya. Tiada sesiapa yang tahu bila ajalnya. Bahkan ajal itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Firman ALLAH: "Dan tiada seorang pun yang tahu di bumi negeri manakah dia akan mati." (Surah Luqman: 34)
Perlu diingatkan, taubat itu tidak hanya dengan kata-kata tanpa iltizam dengan maksud perkataan yang diucapkan. Taubat menjurus kepada erti kembali daripada kemaksiatan ke arah ketaatan.


USTAZ IDRIS SULAIMAN
Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia
www.ustazidrissulaiman.com